Bukan Dari Jibril : Bukan buku untuk orang suci

Tajuk : Bukan Dari Jibril

Penulis : Fikri Harun

Penerbit : Buku Hitam Press

Rate : WAJIB BACA!

bukan dari jibril

Buku ini bukan novel. Buku ini juga bukan puisi. Ia sebuah buku catatan… Buku untuk orang tepi jalan… Kalau korang rasa korang suci, korang jauh dari dosa… Korang jangan baca buku ini. Serius ia bukan untuk orang biasa-biasa yang melenting tak tentu pasal menjadi pendekar melayu di alam cyber. Penulis mengkritik pelbagai aspek kehidupan kita semua. Penulis juga menggunakan bahasa yang cukup untuk pembaca faham masuk keotak tertusuk dihati. Awas jangan sentap apabila membacanya.

Sedikit petikan dari buku ini.

:: Tajuk catatan : Biar Hingga Terpancut

Bunyi air yang ditadah masuk ke dalam baldi biru memecah kesunyian di ruang sempit ini. Hampir penuh. Kalau terleka biarpun sedetik, pasti melimpah keluar nanti. Asal untuk kegunaan, berakhir jadi keburukan. Itulah upahnya untuk keterlekaan tentang perkara yang punya keterbatasan.

Segala sesuatu yang ujud di muka bumi ini punya batasnya. Batas itu pemudah, agar kelak tidak berserabut di hari muka. Bagaimana kau nak menoreh getah dengan cepat dan mudah kalau pokok getahmu berterabur di sana sini? Kerana itu jugalah Tuhan bataskan perasaan kita. Tuhan bataskan rasa suka aku pada agama supaya aku tidak menjadi terlalu taksub seperti kau!

Kerana taksub, kau jadi leka. Leka tentang batasmu sebagai manusia. Tuhan saja berhak mengaibkan makhluknya. Tapi kau bukan main seronok lagi mengajak seramai mungkin teman dalam operasimu itu! Setelah puas menonton (mengintip) kau dan mereka hukum pula, konon untuk merawat(menyedarkan). Walhal kau punya peluang mencegah. Apa tok guru kau tidak ajar bahawa mencegah lebih baik dari merawat?

Mencari salah yang disembunyikan juga merupakan satu kesalahan. Apatah lagi menjatuhkan hukuman untuk kesalahan hasil dari satu kesalahan. Semuanya salah! Kalaulah kau bataskan rasa cintamu pada agamamu itu, pasti kau tidak biar hingga terpancut! Lebih buruk, kau rakamkan sekali aksi mereka! Itu kau kata cinta agama?

Tuhan berikan Qur’an pada kita kerana tidak mahu lembu menjaga lembu. Si pengembalalah yang selayaknya menjaga lembu. Begitu jugalah halnya dengan kau. Mana boleh pesalah menjaga(menangkap) pesalah. Itu kesalahan berganda dek kebebalan dan ketaksubanmu! Hanya Tuhan yang boleh menjaga hambanya. Lantas Qur’an jadi manualnya. Maka ikutlah manual. Jangan pandai-pandai mengetuk tv yang rosak itu. Kalau elok pun ia, semua hanya kebetulan.

Ingat pakcik-pakcik, bataskanlah dulu ketaksuban agamamu sebelum kau mahu bataskan pergaulan anak-anakmu. Apatah lagi kalau ilmumu secetek buku lali burukmu itu! Jangan nanti kau mengangis terseksa di dalam, sedang anakmu diluar membaca Fatihah di salah satu batas tertera namamu di taman memori itu.

Kongsikan Artikel Ini

Author Description

Seorang pengaturcara perisian komputer. Peminat buku-buku bacaan alternatif dan puisi. Mempunyai minat yang mendalam dalam dunia pelaburan saham. Membangunkan blog khas untuk Rekod Kajian Saham yang telah dilakukan secara peribadi iaitu - www.pergh.biz -

Comments are closed.